Saturday, January 7, 2012

Bandar Baru Telupid Jaya Dilancarkan

4th January, 2012

TELUPID: Bandar Baru Telupid Jaya, projek yang akan menelan belanja RM200 juta telah dilancarkan di sini kelmarin.

Dengan keluasan 60 ekar terletak di lebuh raya yang menghubungkan Kota Kinabalu dan bandar-bandar utama di Pantai Timur Sabah akan mengukuhkan lagi kedudukan strategik pekan itu sebagai laluan Timur-Barat-Pendalaman.

Ia sekali gus bukan sahaja meningkatkan pertubuhan ekonomi di Telupid malahan menjadikannya sebagai ‘One Stop Centre’ apabila bandar baru yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun itu menempatkan pusat perdagangan moden bercirikan serba lengkap termasuk juga akan terdapat hotel serta stesen minyak.

Menyempurnakan upacara pecah tanah di tapak projek berkenaan, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Telupid, Kamsah Hj Sulaiman, berkata pembinaan bandar baru ini menunjukkan komitmen pihak pemaju untuk membangunkan pekan tersebut.

Ini katanya, apabila ia siap kelak tentu membantu usaha meningkatkat lagi pertumbuhan ekonomi Telupid yang sememangnya memerlukan lebih banyak pelabur untuk datang ke sini.

“Malah, ia memberi peluang kepada peniaga terutama kepada penduduk Telupid untuk merebut peluang ini memandangkan potensinya sebagai pusat komersil yang akan menjadikan pekan ini antara lokasi paling popular di negeri ini.

“Kita mengalu-alukan pembinaan projek yang dijalankan secara usaha sama antara Syarikat Kesemua Sdn Bhd dengan usahawan bumiputera tempatan. Kita ucapkan syabas dan tahniah diatas usaha murni yang mana akan membantu menaikkan nama Telupid,” jelasnya.

Kamsah yang mewakili Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian yang juga wakil rakyat Labuk, Datuk Seri Michael Asang berharap projek ini akan mewujudkan peluang-peluang perniagaan kepada anak-anak tempatan.

Terdahulu, Pengarah Urusan Kumpulan Ngee Hing, Yap Kok Ming, berkata beliau sudah lebih 30 tahun mengenali Telupid sehubungan dengan itu dia tidak ragu-ragu untuk membangunkan daerah itu.

Beliau yakin apabila projek ini siap kelak, Telupid akan muncul sebagai satu bandar yang indah pada masa akan datang dan walaupun kecil lokasinya tetapi sangat strategik kerana pertengahan antara Kota Kinabalu, Ranau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

“Dengan kedudukan strategik ini, Teluid akan menjadi ‘Golden Triangle’ di mana pembangunan dan pertanian akan berkembang maju di daerah ini. Malah, Bandar Baru Telupid Jaya akan menjadi pertumbuhan hub kewangan dan perniagaan baru.

“Saya percaya bahawa bandar baru tersebut akan menawarkan anda nilai dan pulangan yang tinggi untuk pelaburan anda,” ujarnya.

Fasa 1A akan mengandungi 112 unit rumah kedai dua tingkat dan pembinaannya akan dimulakan pada Mac dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2013.

Projek ini akan mengandungi tiga fasa iaitu fasa 1B menyaksikan pembinaan 26 lagi rumah kedai dua tingkat manakala fasa 2 akan mengandungi 1,000 unit apartmen dan 300 unit rumah teres, 100 unit rumah teres berkembar dan 50 unit rumah berkembar yang akan dibina dalam fasa 3.

Kumpulan Ngee Hing juga terbabit dalam perladangan, pembinaan dan industri kejuruteraan dan Bandar Baru Telupid Jaya adalah projek hartanah ketiga yang dilaksanakannya.


Sumber: NEW SABAH TIMES

No comments:

Post a Comment